Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan yang empunya alam dan seluruh isinya. Dialah yang memberikan rezeki dan menentukan perjalanan nasib setiap hamba-Nya.
Charles de Gaule
Pagi lebih kurang jam 6.40 pagi, Boeing 777 MH 0020 dari Kuala Lumpur mendarat di lapangan terbang Charles de Gaule, Paris. Entah berapa jam ayah tidur di dalam perut sang Boeing sepanjang penerbangan 12 jam 45 minit. Pesawat kali itu tak penuh, kiri dan kanan ayah kerusi kosong tak terisi. Tanpa kawan untuk diajak berbual, jadi ayah 'mengisi masa lapang' dengan melayari bahtera mimpi...
Charles de Gaule International Airport bagai pekan tersendiri di pinggir kota Paris. Luasnya entah berapa batu persegi. Langkah seterusnya ayah lajukan untuk mencari Gate untuk perjalanan seterusnya ke Lyon. Tak seperti di KLIA, ayah terpaksa mengambil dua buah bas untuk ke Gate 2F untuk perjalanan domestik ke Barat Daya negara Perancis ini. Ada seorang 'guard' di setiap perhentian bas dan mereka bukanlah orang-orang yang boleh dikategorikan sebagai orang yang peramah... malah agak pemarah... dalam perjalanan ke Gate, ayah berkenalan dengan 3 orang rakyat Malaysia. Encik Noh dari MPOB Bangi dengan seorang rakan kerjanya wanitanya akan meneruskan perjalanan ke Columbia untuk menghadiri conference. Seorang lagi rakyat Malaysia berbangsa Cina, yang ayah lupa untuk tanya namanya akan meneruskan perjalanan ke Columbia dan kemudian ke Venezuela untuk urusan bisnesnya.
Sampai di Gate 2F dalam jam 8 pagi. Ayah mengisi perut dengan sebiji croissant dan air mineral sahaja pagi itu sambil menantikan pesawat seterusnya. Untuk 2 jam seterusnya, ayah mengisi masa dengan membaca akhbar 'The ....(tak ingat)... Post' yang disediakan percuma oleh kompeni Air France. Jam 9.55 pagi pesawat Air France AF7625 sedia di pintu F30 untuk penerbangan ayah yang seterusnya.
Aeroport de Lyon- Saint Exupery
Selamat meninggalkan pesawat, ayah terus menuju ke tempat Baggage Claim, menantikan beg galas ayah yang sudah terpisah dengan ayah sejak di Kuantan. Menanti hampir 10 minit, akhirnya beg ayah muncul dan selepas digalas... ah, saat itu ayah terasa seperti menggalas 'beg dukung' Yusuf yang selalu ayah buat bila kita jalan-jalan di EC mall.
Keluar dari lapangan, ayah di'offer' oleh pemandu teksi untuk mereka menghantar ayah ke hotel dengan kos sekitar 40 euro. 40 euro memang harga yang agak berpatutan bagi perjalanan hampir 30 kilometer. Tapi bagi ayah, bukan jalan mudah yang dicari. Ayah mencabar diri untuk mengambil jalan yang lebih memerlukan usaha dan ketabahan. Jadi ayah berjalan terus; dengan beg galas 18 kilo di pundak, beg laptop serta beg kabin, menuju ke landasan keretapi Rhonexpress untuk ke stesen Vivier Merle. Perjalanan keretapi Rhonexpress itu mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sampai di Vivier Merle, ayah tercari-cari 'Tramway' untuk ke stesen terdekat dengan Apartment hotel ayah, stesen Quai Claude Bernard. Rupa-rupanya ayah mesti merentasi bangunan kompleks Vivier Merle yang hampir seluas Giant Hypermarket di Kuantan untuk ke perhentian tramway yang dicari. Mujur ada seorang anggota polis yang tinggi menggalah menunjukkan arah, dengan senyum ramah walaupun dalam keterbatasan tutur bahasa Inggerisnya.
Dari stesen Vivier Merle, ayah mengambil tram (tram di sini rupanya bukanlah serupa dengan tram klasik di bandar Stockholm yang pernah kita naiki dulu. Tram di sini rupanya seperti bullet train, sangat moden dan selesa, cuma tidak selaju bullet train barangkali). Sepanjang perjalanan, ayah melihat pemandangan luar, bandar Lyon mengingatkan ayah kepada Stockholm... mungkin bandar kedua terbesar di Perancis ini juga sebesar ibukota Sweden itu. 15 minit di dalam tram, tibalah ayah di stesen Quai Claude Bernard. Turun sahaja dari tram, ayah kehilangan arah. Arah mana untuk ke apartment hotel Les Carres des Pegase? Mujur seorang wanita menghulur bantuan dengan menunjukkan arah, dengan bahasa Inggeris yang sangat jelas, walaupun dengan accent perancisnya yang pekat.
Berjalan mengikut arah yang ditunjukkan, voila: akhirnya ayah tiba di persinggahan sementara ayah di kota Lyon ini: Les Carres des Pegase!
AnakMakJah2: Warkah dari Kembara Ayah
Catatan Ayah buat cinta hati ayah di tanahair. Dalam kesunyian perjalanan kembara sendirian mengejar pelangi ilmu.
Monday, September 24, 2012
Thursday, September 20, 2012
Catatan Kembara Buat Yang Tersayang
BismillahirRahmanirRahim. Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Hari ini, 21 September 2012 Ayah mulakan blog ini buat tatapan anak-anak ayah, ibu dan semua yang tersayang di Malaysia.
Subscribe to:
Posts (Atom)